Seperti dirancang, akhirnya penjelajahan ke bumi melanau kali ke-2 berjaya dilakukan. Alhamdulillah, tiada kejadian yang tidak diingini dialami. Kami sepatutnya pergi pada 9 Disember 2008, sehari selepas hari raya aidiladha tetapi ibu saya meminta saya menemankan adik saya beraya di Kuala Balingian maka perjalanan diawalkan.
----------
Sebelum pergi saya telah membaiki power window yang tidak berfungsi, rupa-rupanya ada 2 wayar terputus di dalam getah yang menghubung pintu dan badan kereta. Saya buat sendiri maka banyaklah jimatnya. Sistem penggera saya tukar dengan sistem penggera terpakai kepunyaan adik saya, sekarang bunyinya lebih kuat. Radio kaset pula saya tukar dengan MP3 player terpakai kepunyaan adik saya juga. Juara saya hantar kedai untuk servis biasa dan refill aircond namun sepanjang perjalanan, kecuali kalau hujan, kami tidak menggunakan aircond kerana isteri saya loya dan mual kalau guna aircond.
----------
[6 Disember 2008 - Kuching ke Kuala Balingian]
Perjalanan dimulakan jam 7 pagi. Semua orang iaitu saya, isteri saya dan 4 orang anak saya, nampaknya tidak sabar untuk pergi. Walaupun saya sudah seminggu demam dan batuk namun semangat tetap berkobar-kobar untuk pergi. Selepas membaca Surah Al-Fatihah, Ayat Kursi dan Doa Penyembuh saya memulakan perjalanan. Destinasi pertama seperti biasa ialah stesen minyak Petronas Batu 8. Di sana saya pam angin tayar seperti speks yang disyorkan. Jikalau pam ikut rasa hati nanti terjadi seperti sebelum ini, tayar tidak cukup grip.
----------
Perjalanan kali ini tidak dicatit dengan terperinci. Saya bercadang untuk mengambil video sepanjang perjalanan malangnya tidak siapa yang lapang untuk menggunakan kamera. Saya banyak burn mp3 namun hanya audio CD Radja sahaja yang dapat dimainkan.
----------
Kami singgah di Lachau untuk berhenti rehat tepat apabila kesemua mp3 Radja telah dimainkan. Kami semua ke tandas awam. Saya berjumpa dengan orang kampung saya, hanya selepas balik semula ke kampung saya mendapat tahu dia pergi ke Sibu.
----------
Lachau adalah tempat persinggahan dan istirehat untuk pengembara (travellers la). Di sana terdapat deretan kedai, pasar segar, tandas awam dan taman permainan kanak-kanak. Sambil menikmati juadah yang dibekal dari rumah, anak-anak saya pula seronok bermain di taman. Kami berehat sekitar 30 minit.
----------
Perjalanan diteruskan. Apabila melepasi Sri Aman, kompilasi mp3 Ungu, Peterpan dan Radja dapat dimainkan. Masalahnya bukan pada audio player kereta tetapi pada format mp3. Jikalau kita burn menggunakan window media player, ada player yang detect fail-fail tersebut sebagai wma walaupun extensionnya mp3. Kami singgah di stesen minyak Petronas Layar. Minyak Juara belum habis setengah namun untuk perjalanan jauh adalah lebih baik minyak sentiasa melebihi paras setengah tangki. Saya menghampiri Sibu, terdapat tanda arah jikalau tidak silap ke Sibu/Bintangor dan Bintulu/Miri, saya keliru. Saya mengambil keputusan menggunakan jalan Bintulu/Miri. Selepas beberapa kilometer, isteri saya terperasan tanda arah jikalau tidak silap ke Durin walhal sepatutnya kami menggunakan jalan ke Lanang. Maka kami berpatah balik dan menggunakan jalan yang satu lagi.
----------
Kami ternampak tol jambatan Lanang. Bayaran tol untuk Juara ialah RM3. Selepas melepasi tol, saya bersedia dengan peta Sibu. Dengan berpandukan peta, saya mencari jalan ke Selangau. Alhamdulillah, perjalanan melalui Sibu lancar.
----------
Kami sampai di stesen minyak Petronas Selangau. Sekali lagi saya mengisi petrol. Memang terasa penjimatan perbelanjaan untuk minyak selepas harganya turun. Syukur kepada Allah. Jam ketika itu lebih kurang pukul 3 petang. Saya menunaikan solah jamak Zohor dan Asar. Kemudian kami meneruskan perjalanan.
----------
Oleh kerana masa masih awal, saya mengambil keputusan untuk memandu lebih perlahan melalui jalan sawit Selangau. Malangnya beberapa kali saya terlanggar juga lubang jalan menyebabkan semua barang-barang di atas dashboard terpelanting.
----------
Perjalanan dari Selangau ke Kuala Balingian mengambil masa lebih kurang 3 jam. Melalui jalan Balingian buat kali kedua, saya perasa ada beberapa bonggol jalan sudah diratakan maka perjalanan lebih lancar berbanding sebelum ini.
----------
Kami sampai di Kuala Balingian lebih kurang jam 6.25 petang, ketika itu azan maghrib sedang berkumandang. Adik saya menyambut kami dengan penuh gembira.
----------
[7 Disember 2008 - Kuala Balingian ke Daro]
Perancangan untuk hari ini, kami akan pergi sehingga ke penghujung jalan iaitu sehingga ke Daro. Juara dipandu oleh adik saya. Berbanding saya, cara pemanduan adik saya lebih laju tapi selesa. Saya tidak pernah memandu Juara melebihi 85 km/j tetapi adik saya memandu Juara sehingga 100km/j.
----------
Kami melalui jalan Oya, di sebelah kanan, saya ternampak masjid Oya. Jikalau tidak silap, rumah schoolmate saya dulu, Syalfahani Syawaliah, terletak sebelum masjid. Jalanraya banyak yang baru dan mengelirukan bagi pendatang seperti saya.
----------
Dari Oya, kami menghala ke Igan. 10 tahun yang lalu, Oya dan Igan dihubungkan oleh feri namun sekarang ia sudah diganti dengan jambatan menyebabkan perjalanan lebih singkat. Untuk sampai ke Igan hanya mengambil masa lebih kurang 30 minit.
----------
Kami sampai di Igan. Ayah saudara isteri saya dan kawan adik saya ada di Igan. Kami bercadang untuk menziarah mereka selepas balik dari Daro nanti.
----------
Dari Igan kemi menghala ke Matu. Igan dan Matu masih dihubungkan oleh feri. 10 tahun yang lalu, ferinya seperti sebuah kapal membawa kayu balak dan hanya bergerak apabila kenderaan sudah penuh. Feri sekarang ada 2 buah, satu pembangunan yang bermanfaat.
Sepanjang jalan Igan Matu, kami ternampak rimbunan pokok midin, sejenis sayur yang semakin digemari ramai. Keturunan Melanau Belawai pantang untuk memakan midin, mungkin Melanau di kawasan tersebut juga pantang memakannya, kerana itulah sayur midin tersebut tumbuh terbiar seperti rumput.
----------
Kami sampai di Matu. Jarak antara Igan dan Matu agak jauh sekurang-kurangnya 50km. Kami singgah di pekan Matu. Hanya terdapat deretan rumah kedai kayu. Ada juga stesen minyak di situ. Minyak masih ada 1 bar, perjalanan seterusnya ialah ke Daro dengan jarak 20km, lebih baik isi minyak di Daro sahaja.
Kami melalui kampung-kampung di Matu, ada pertandingan futsal anjuran Pejabat Daerah Matu. Selepas perjalanan ini, saya menghadiri seminar ICT. Kebetulan ada seorang peserta dari DO Matu bernama Encik Abdul Rahman, menurutnya hadiah utama amat lumayan iaitu sebanyak RM2500 berbanding yuran penyertaan cuma RM10.
Pada mulanya saya hendak memasuki kampung Jemoreng, kampung Aminah Abdul Hamid, ex-schoolmate saya semasa di KISAS, namun saya batalkan kerana faktor masa.
----------
Dari Matu kami menghala ke Daro. Permandangan dari Igan ke Daro hampir sama, kiri kanan jalanraya kelihatan kebun dan pokok nipah atau sawit. Ketika menghampiri kawasan perkampungan Daro, saya ternampak sebuah bangunan seperti rumah pangsa. Bangunan tersebut sebenarnya sarang pembiakan burung layang-layang. Suatu ketika dulu ada artikel mengenainya di dalam akhbar, hari ini saya berpeluang melihatnya dengan mata saya sendiri..Sarang burung layang-layang digunakan untuk produk kesihatan.
----------
Kami singgah di pasar Daro. Saya betul-betul terkejut melihat pembangunan mendadak pekan Daru, bagi saya ia telah berubah seperti sebuah bandar. Saya harap kemudahan awam juga dibangunkan. Saya selalu terfikir, apabila disebut pembangunan pasti ada penduduk yang terpaksa berkorban, tanah mereka diambil, kampung mereka dipindahkan dan sebagainya. Hanya kerana kita membuat pembangunan, kenapa mesti kita mengiorbankan kehidupan?
Di pasar basah, saya membeli sejenis makanan laut seperti tinjum tapi besar. Esok adalah hari raya aidiladha, nampaknya, masak makanan lautlah raya ni.
----------
Setelah mengisi minyak, kami bertolak ke Igan. Ketika sampai di feri, adik saya sms kawannya mengatakan kami akan singgah rumahnya selepas makan tengahari. Kawan dia mengajak makan di rumahnya walaupun ketika itu sudah lepas masa makan tengahari. Kami singgah di rumah kawan adik saya lebih kurang 30 minit sahaja kemudian kami singgah ke rumah bapa saudara isteri saya. Inilah kali pertama saya melihat pakcik Albert @ Bana, beliau jarang balik kampung kerana faktor jarak. Kali terakhir beliau ke Belawai pada tahun 2000 ketika majlis perkahwinan saya. Saya tertarik dengan perhiasan berupa topi yang diperbuat dari ikan buntal di rumah tersebut. Dengan rela hati, pakcik isteri saya menghadiahkan ia sebagai cenderahati.
Mok Bana, panggilan untuk pakcik Albert @ Bana, mengajak kami bermalam. Wajahnya berubah apabila saya memberi jawapan negatif. Untuk menjernihkan keadaan, saya berjanji akan datang lagi selepas raya haji. Setelah beberapa lama mengungkit kisah-kisah silam, kami bertolak pulang.
----------
Dalam perjalanan melalui Oya, saya teringat rumah schoolmate saya. Saya masih ingat gambaran yang diberi oleh beliau bertahun-tahun lalu, ada 3 lorong seperti serampang, rumahnya adalah yang ketiga pada lorong tengah. Lorong tersebut sudah menjadi jalan utama, memang mengelirukan. Saya sms adiknya, dia balas, "Siapa ni?" Bertambah benci aku ngan budak ni. Apa-apapun, mungkin saya sms dari luar kawasan, maka no yang dipamerkan ditambah dengan +6, maka tidak serasilah dengan nombor yang disimpan. Gambong!
Saya sms Norainon mengatakan saya pergi ke Matu, tempat Aminah. Norainon mengatakan Aminah akan berkahwin pada hari Khamis. Saya minta Norainon sms Aminah supaya saya dijemput hadir. Kata Norainon, hari Khamis cuma akad nikah, bulan Jun nanti barulah majlis perkahwinan. Saya sudah terbayangkan peluang Jelajah_Borneo II dengan motosikal, tidak sabar rasanya untuk membaiki kuda besi saya itu..
Encik Abdul Rahman dari DO Matu memberitahu saya, kebiasaannya penduduk Jemoreng, kampung Aminah, melangsungkan perkahwinan ketika air pasang tinggi. Lain padang lain belalang, lain orang lain adat resamnya.
Kami sampai di Kuala Balingian ketika waktu maghrib, hampir jam 6.30 malam.
---------
[8 Disember 2008 - Selamat Hari Raya Haji]
Malam hari raya, anak-anak saya bermain bunga api. Isteri saya pula sibuk menyediakan masakan. Banyak resepi segera yang dibawa dari Kuching seperti ketupat segera, perencah ayam 5 rasa dan perencah rendang. Adik saya telah membeli ketulan-ketulan ayam segar dan daging kambing. Adik dan kakak saya pula membuat biskut dan kek, insyaAllah, suasana hari raya juga dapat dirasakan di Kuala Balingian.
Pagi raya, saya dan adik saya berpakaian melayu lengkap untuk ke masjid. Masjid agak sunyi hanya dipenuhi dengan tidak lebih 40 orang jemaah. Selesai solah kami berjalan pulang. Kebiasaannya saya akan membawa anak-anak saya ke masjid kerana ada jamuan selepas solah. Terasa kekurangannya pada kali ini.
Di Kuala Balingian, selesai solah, mereka akan berkumpul di jambatan untuk "makan selamat", bunyi seperti kepercayaan tahyul pada saya. Kenapa nak dibuat di jambatan, nanti tak pasal-pasal sisa-sisa makanan dibuang ke sungai, jadi pencemaran pula. Adik saya turut serta, selepas balik, adik saya mengatakan mereka ada membaca doa selamat.
Pada hari raya pertama, kami menerima banyak juadah seperti kelupis, ketupat, rendang dan kuih-muih. Boleh dikatakan, makanan tersebut tidak akan habis untuk kami semua selama seminggu.
----------
[9 Disember 2008 - Kuala Balingian ke Igan]
Hari ini kami akan pergi ke Igan untuk menziarahi ayah saudara isteri saya. Kami singgah di kuarters kerajaan tidak jauh dari SMK Mukah bertujuan untuk menjemput kakak ipar saya. Kakak ipar saya tinggal di Belawai tetapi di musim cuti sekolah, dia akan bercuti di Mukah kerana suaminya bekerja di L&S Mukah. Sekarang Juara sudah dipenuhi oleh 11 orang, 4 dewasa dan selebihnya kanak-kanak. Sebelum pergi ke Igan, kami singgah sebentar di Dalat. Dalam perjalanan saya melalui Kampung Balan, kampung Norainon Amit, schoolmate saya semasa di KISAS. Rupa-rupanya kampung tersebut kecil sahaja, takjub saya memikirkan Allah mengatur jodoh 3 orang sepupu saya dengan pasangan masing-masing yang berasal dari kampung tersebut. Pekan Dalat terletak kira-kira 14km dari persimpangan Mukah - Oya. Seperti Daro, pekan Dalat juga membangun dengan pesat. Semoga dengan pembangunan pekannya, kualiti kehidupan penduduk juga diharapkan bertambah baik. Tidak lama lagi adalah kedai 4D, ke memang dah ada?
Kami tidak lama di Dalat. Kami lantas sahaja menuju ke Igan, tujuan asal perjalanan kami. Dipendekkan cerita, kami sampai di Igan ketika pertu sedang lapar, ketika dapur sedang berasap. Lauk makan tengahari hari itu ialah ikan masin, daging masak kicap dan sayur kueh tiaw, ringkas sahaja. Sepanjang berada di Igan, kami bercerita tentang kisah-kisah keluarga. Mok Bana mempunyai 2 orang anak, anak sulungnya lulusan diploma UiTM bekerja di ladang sawit Igan sebagai penolong pengurus dan anak bungsunya lulusan ijazah UiTM bekerja sebagai seorang guru di Lundu, 70km dari tempat saya tinggal. Kami tidak bermalam di Igan. Memang sudah dirancang supaya kakak ipar saya memberi alasan tertentu untuk tidak bermalam.
Kami bertolak pulang jam 3 petang. Dari Igan kami terus ke pasar Mukah. Keadaan pasar agak sunyi, tiada peniaga yang menjual ikan-ikan segar, yang dibuka cuma gerai sayur-sayuran. Hampa dengan kekosongan di pasar Mukah, kami balik ke kuarters kakak ipar saya. Kami singgah sekitar 30 minit di sana sebelum bertolak pulang ke Kuala Balingian.
Ketika sampai di klinik, saya ternampak 2 orang gadis iban keluar dari kawasan sawah. Mereka balik memancing, saya bertanya jikalau mereka ada menangkap ikan puyu, ikan kegemaran saya jikalau dimasinkan, ada katanya. Esoklah saya memancing di sana kata saya. Gadis tersebut beriya-iya hendak memberi beberapa ekor. Pehh...sekilo RM14 jikalau dimasinkan ikan puyu tu, ambil ajelah. Tidak tergerak pulak mulut saya untuk berterima kasih.
----------
Selepas perjalanan ke Igan, kami hanya duduk di Kuala Balingian, saya menghabiskan masa memancing ikan puyu. Semua ikan yang saya tangkap dimasinkan. Kadang-kadang kami sekeluarga memancing ikan sembilang di sungai, namun tiada hasil. Sepanjang masa kami berada di Kuala Balingian, penduduk di situ sibuk menangkap obor-obor merah. Seekor obor-obor dijual dengan harga sehingga RM6. Masa itulah penduduk kampung menikmati pendapatan lumayan sehinggakan sehari ada yang memperolehi sehingga RM3000.
----------
Adik saya sudah mula bekerja sejak hari Selasa. Klinik Kuala Balingian terletak di dalam kampung kaum melanau tetapi kebanyakan pesakit yang datang ialah dari kaum iban. Ada beberapa buah rumah panjang iban sekitar Kuala Balingian berbanding cuma sebuah kampung melanau. Adik saya bekerja seawal jam 8 pagi dan akan menutup klinik sekitar jam 4.30 petang. Beliau dibantu oleh seorang JM berbangsa melanau dan seorang pembantu pejabat berbangsa iban. Kerja di pedalaman begitu nampak mudah tetapi jangan hairan jikalau ada orang mengetuk pintu rumah anda selewat 12 tengah malam atau seawal jam 5 pagi. Bak kata adik saya, waktu pejabat ialah 24 jam.
----------
Ada sebuah sekolah rendah berhampiran klinik. Sekolah tersebut dikuasai dengan janakuasa diesel yang beroperasi 24 jam. Walaupun musim sekolah, janakuasa tersebut sentiasa beroperasi dan semua kipas dan lampu sekolah dihidupkan. Selain rebat tunai untuk cukai jalan, saya tidak dapat membayangkan pembaziran yang lebih besar dari itu.
----------
Pada hari Jumaat, ketika azan untuk solah Jumaat, hanya ada 4 orang yang datang, sehingga khatib memulakan khutbah, cuma ada tidak sampai 20 orang yang hadir. Kebanyakan lelaki pergi ke laut untuk menangkap obor-obor. Teringat saya maksud potongan ayat dari surah Jumaat, "Apa yang di sisi Allah lebih baik daripada hiburan dan perniagaan, dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki." Semoga Allah memberkati rezeki kita.
----------
Saya sempat menghadiri majlis meraikan kedatangan seorang jemaah haji di Kuala Balingian. Hidangan pada malam tersebut ialah sup ayam, ikan tenggiri panggang dan hidangan yang saya nanti-nanti, umai ikan belanak. Jikalau ke bumi melanau, tidak sah tidak merasa umainya. Jikalau anda tidak geli, boleh juga merasa siet segar. Siet ialah ulat mulung dan saya tidak tahu samada ia halal atau tidak.
----------
Petang Sabtu adik saya hendak pergi ke rumah penghulu untuk membeli ikan siakap dalam sangkar. Malangnya, sebelah tayar keretanya tenggelam sehingga ke badan kereta. Tanah di klinik tersebut adalah tambakan pasir, masa-masa hujan begitu memang ianya menjadi jerlus. Adik saya mengelilingi kampung menggunakan Juara untuk mencari lori namun dia hanya kembali dengan membawa tali. Semasa ketiadaannya, saya telah mengorek pasir dan jack kereta supaya saya dapat meletakkan papan di bawah tayar. Usaha saya berhasil. Azan maghrib sudah kedengaran, solah di rumah ajelah nampaknya kali ini.
----------
[14 Disember 2008 - Kuala Balingian ke Kuching]
Malam tadi hujan lebat. Saya mendapat firasat bahawa Juara akan mengalami nasib sama seperti Iswara adik saya semalam.
Kami bertolak jam 7 pagi. Baru beberapa meter bergerak, Juara saya tersangkut juga. Alhamdulillah, Juara tinggi maka senanglah untuk dijack. Sekeping papan diletak di bawah tayar, beberapa keping papan lagi dibuat seperti landasan. Adik saya memandu Juara seperti perlumbaan rally Dakar sehingga ke luar pagar klinik. Sehingga jam 7.40, barulah kami dapat keluar dari klinik.
Ketika melalui jalan Kuala Balingian - Balingian, seorang wanita melambai tangan, saya berhenti. Dia hendak menumpang ke pekan Balingian, bersamanya ialah seorang lagi wanita dan seorang kanak-kanak. Jikalau kita menolong orang, insyaAllah Allah akan memolong kita. Wanita tersebut bekerja di ladang sawit, mereka berasal dari Sulawesi.
-----------
Dari Balingian kami bergerak ke Selangau. Oleh kerana malam sebelumnya hujan maka jalan Selangau berair dan ada tempat yang becak. Ada tempat berparit yang dalamnya setengah meter. Saya terlihat lagi papan tanda,".. rumah saya diroboh kerana...". Menurut rakan saya yang bekerja di pejabat residen Mukah, mereka itu membina rumah tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan, apabila kerajaan hendak membaikpulih jalan, banyak penempatan terpaksa diroboh dan dipindahkan namun ada diberi pampasan. Saya belum mendengar cerita dari pihak yang satu lagi.
Kami singgah di stesen minyak Petronas Selangau. Saya mengisi minyak setangki penuh dan mengepam tayar. Beberapa ketika saya mengepam, baru saya perasan meter pam tersebut tidak berfungsi dengan betul. Saya batalkan hasrat untuk mengepam tayar-tayar lain. Kami meneruskan perjalanan menuju ke Sibu. Saya singgah di satu stesen minyak Shell, ketika sedang mengepam, saya perasan getah pam itu bocor. Kerana bimbangkan keadaan tayar yang tidak pasti tekanannya, saya memandu perlahan.
Saya menyediakan peta ketika menghampiri Sibu. Pada satu bulatan, saya masuk kiri, isteri saya mencelah, bukankah saya sepatutnya mengambil jalan kanan? Saya keliru, banyak jalanraya dan simpang yang tidak terdapat di dalam peta. Oleh kerana keadaan jalanraya yang lebar walaupun tidak berturap, saya teruskan perjalanan. Ketika itulah saya ternampak papan tanda Durin. Maknanya kami telah memasuki jalan Durin. Durin dapat digunakan untuk ke Sarikei tetapi jaraknya lebih jauh. Saya berkata kepada isteri saya, memandangkan kita jalan-jalan, apa kata kita jalan-jalan melalui jalan yang tidak pernah kita lalui tersebut.
Jalan Durin sedang dibaikpulih ianya tidak berturap seolah-olah melalui jalan Selangau. Melalui jalan Durin kami melepasi daerah Kanowit, Julau dan sebagainya. Agak banyak juga kenderaan yang menggunakan jalan tersebut walaupun keadaannya tidak selesa.
Kami melepas Sarikei dan singgah di kawasan persinggahan Sebangkoi. Selesai solah jamak Zohor dan Asar, kami ke kafetaria, malangnya ia tutup. Untuk mengalas perut, saya membeli makanan ringan. Kmi meneruskan perjalanan sehingga ke stesen minyak Petronas Layar. Di situ saya mengisi minyak lagi dan mengepam tayar. Syukur Alhamdulillah, pamnya berkeadaan baik. Dari situ kami meneruskan perjalanan sehingga ke Kuching. Kami tiba sebelum jam 6.30, saya masih sempat maghrib berjemaah di masjid kampung.
Penjejakan seterusnya mungkin bulan Jun nanti dengan motosikal Suzuki FXR dari Kuching - Matu.